Rise To Shine 2025 Lahirkan Pemimpin Pelajar GENMARA Yang Holistik

SEREMBAN, 2 November – Program Rise to Shine 2025 anjuran Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA berjaya menghimpunkan seramai 350 pemimpin pelajar dari pelbagai institusi pendidikan MARA dalam usaha melahirkan barisan kepimpinan pelajar Generasi MARA (GenMARA) yang holistik, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.

Penganjuran kali ini yang berlangsung di Kolej MARA Seremban dari 31 Oktober hingga 2 November 2025 merupakan kesinambungan program pembangunan bakat tahunan MARA yang memberi fokus kepada penerapan nilai kepimpinan berasaskan pembelajaran pengalaman (experiential learning) dan penglibatan komuniti secara imersif (immersive community engagement).

Majlis penutupan Rise to Shine 2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman, Ketua Pengarah MARA, yang turut menyatakan keyakinan bahawa program seumpama ini mampu melahirkan pelajar MARA yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, keusahawanan dan jati diri tinggi sebagai peneraju masa hadapan negara.

Buat julung kalinya, penyertaan program diperluaskan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) TVET MARA melibatkan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII), di samping Kolej Profesional MARA (KPM) dan Kolej MARA (KM) yang menjadi peserta tetap sejak penganjuran awal.

Melalui modul R.I.S.E (Resilience, Integrity, Synergy, Empowerment), program ini membentuk pelajar untuk lebih berkeyakinan, memiliki kemahiran komunikasi berkesan, semangat berpasukan, daya juang tinggi dan kepimpinan kreatif. Selain aktiviti interaktif, pelajar turut diberi ruang berinteraksi secara langsung bersama pengurusan tertinggi MARA dalam sesi Bicara Inspirasi, bagi memperkukuh kemahiran perkongsian ilmu (knowledge-sharing) dan pemindahan kemahiran (skills-transfer).

Kesemua peserta turut diberi peluang menyertai MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 November 2025, menerusi program NextGen Entrepreneurship anjuran Bahagian Infrastruktur Komersil (BIK) MARA. Penglibatan ini membuka ruang kepada pelajar MARA untuk meneroka potensi keusahawanan dalam sektor automotif yang sedang berkembang pesat.

Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Siti Aminah Binti Abdul Kadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA; Dr. Ahmad Sabri Bin Kassim, Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA; Puan Rohana Binti Jusoff, Pengarah MARA Negeri Sembilan; Puan Rosmaria Binti Abdullah, Pengarah Kolej MARA Seremban; Encik Ahmad Izlan Bin Idris, Pengarah Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau; serta Dato’ Sayed Alfeizal Bin Sayed Ahmad, Presiden MUAFAKAT Malaysia.

Penganjuran Rise to Shine 2025 turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik MARA termasuk Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT), Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP), Bahagian Infrastruktur Komersil (BIK), MUAFAKAT Kebangsaan Malaysia serta Co-opbank Pertama Cawangan Seremban 2.

Sebanyak RM80,800 diperuntukkan bagi menjayakan program ini yang disalurkan melalui beberapa sumber termasuk Program Pembangunan Bakat BPP, Akaun Siswa Kolej, yuran IPMa BKT, sumbangan BIK serta MUAFAKAT Kebangsaan Malaysia.

Program Rise to Shine 2025 sekali lagi menegaskan komitmen MARA dalam memperkasa pembangunan modal insan Bumiputera berteraskan nilai kepimpinan, daya saing global dan semangat patriotik, seiring dengan aspirasi membentuk GenMARA sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan negara.

#MerakyatkanMARA #RancakkanMADANI #MADANIBekerja #MalaysiaMADANI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *