
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 – MARA telah menerima kunjungan rasmi syarikat perakaunan terkemuka dunia, Ernst & Young (EY), bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan MARA.
MARA diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh, Pengarah BPT, Puan Siti Aminah Abdul Kadir serta pegawai-pegawai kanan BPT. EY pula diwakili oleh Ms. Lee Soo Fern, Senior Partner & Malaysia Talent Leader bersama Encik Ahmad Qadri, Audit Partner & Financial Service Organization Leader serta barisan pengurusan kanan EY yang lain.
Perbincangan memberi tumpuan kepada peluasan peluang penempatan kerjaya bagi graduan Kolej Profesional MARA, penganjuran aktiviti strategik seperti sesi perkongsian industri, kuliah jemputan dan lawatan industri di samping pemerkasaan hubungan akademia-industri melalui perkongsian amalan terbaik dan semakan kurikulum bersama pensyarah. Inisiatif ini selari dengan agenda industrialization in education yang menekankan integrasi langsung pengalaman industri ke dalam ekosistem pendidikan agar graduan dilahirkan dengan kemahiran teknikal, pemikiran kritis dan literasi industri yang tinggi.
Jalinan kerjasama ini menjadi bukti keyakinan pihak industri terhadap kualiti pendidikan MARA sekali gus membuka laluan yang lebih luas kepada graduan untuk bersaing dan menonjol di pasaran kerja bertaraf global seiring dengan kehendak revolusi industri dan ekonomi digital masa kini.
#MerakyatkanMARA, #RancakkanMADANI, #MADANIBekerja, #MalaysiaMADANI