

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2025 – Bahagian Pendidikan Tinggi MARA telah menganjurkan satu sesi perkongsian strategik yang memfokuskan kepada inovasi dalam pengajaran Bahasa Inggeris, bertempat di Ruang Legar MKC, Ibu Pejabat MARA.
Inisiatif ini diterajui oleh YBhg. Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, sebagai usaha untuk meneroka pendekatan baharu dalam memperkasa pengajaran Bahasa Inggeris di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Seramai 25 orang wakil IPMA yang terdiri daripada pembuat dasar dan pendidik Bahasa Inggeris telah terlibat dalam sesi ini bagi membincangkan kaedah pedagogi inovatif yang relevan dengan kemajuan teknologi dan keperluan pelajar masa kini.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Dr. Nurin Erdiani binti Mhd Fadzil dari Universiti Putra Malaysia (UPM), penerima Emerging Scholar Award di 21st International Conference on Technology and Society 2025, Taiwan. Anugerah antarabangsa ini diberikan oleh Common Ground Research Networks, Amerika Syarikat sebagai pengiktirafan atas pembangunan kerangka pembelajaran multimodal dalam pengajaran penulisan akademik Bahasa Inggeris.
Sebagai kesinambungan, MARA akan melaksanakan projek rintis di beberapa institusi terpilih termasuk MRSM, IKM dan Kolej Profesional MARA (KPM) bagi menilai keberkesanan pendekatan ini dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar secara menyeluruh.
Dr. Nurin Erdiani akan turut dilibatkan sebagai pakar rujuk utama dalam membantu reka bentuk intervensi, pemantauan pelaksanaan dan penyesuaian strategi mengikut konteks institusi pendidikan MARA.
Langkah strategik ini mencerminkan komitmen MARA dalam memperkasa pendidik, memacu kecemerlangan pelajar serta mengangkat MARA sebagai peneraju inovasi dalam pendidikan Bahasa Inggeris.