KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan di negara ini.
Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama itu akan memberi peluang pekerjaan berimpak tinggi untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputera, terutama golongan B40.
Katanya, kerjasama bersama ACCA dan MICPA itu turut bertujuan memantau proses pembelajaran dan prestasi pelajar, selain memberi latihan sokongan dan pembangunan bagi persediaan kerjaya.
“Ia turut menggunakan rangkaian perhubungan industri badan profesional dalam kebolehpasaran pelajar.
“Sebagai badan profesional global yang sudah bertapak lebih sedekad lamanya, ACCA memiliki pengalaman luas dan kepakaran mendalam bagi melahirkan akauntan profesional yang tidak hanya tertumpu kepada kelulusan akademik semata-mata.
“ACCA sentiasa melihat keperluan terkini membabitkan pelajar, pendidik, institusi pendidikan dan majikan, di samping memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pemangku Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif MICPA, Novie Tajuddin.
Yang turut hadir, Pemangku Ketua ACCA Malaysia, Hishamuddin Abdul Jalil dan Naib Presiden MICPA, Datuk Gan Ah Tee.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya yakin penerapan nilai kepemimpinan dan kebertanggungjawaban di peringkat awal, dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila menamatkan pengajian.
“Sebelum ini MARA melalui Kolej Profesional MARA Ayer Molek dan ACCA berkolaborasi dalam melaksanakan program ACCA-X.
“Hasilnya, kita melahirkan pelajar yang melakar kejayaan di dalam peperiksaan bukan sahaja di Malaysia tapi juga di pentas dunia.
“Ini termasuk beberapa pelajar Certified Accounting Technician (CAT) menduduki senarai pemenang peringkat antarabangsa dalam beberapa sesi peperiksaan ACCA dengan kadar kelulusan peperiksaan melebihi 90 peratus,” katanya.
Ah Tee berkata, kerjasama bersama MICPA lebih kepada penggalak dan pendorong terhadap yang sedia ada.
“Menerusi program MICPA, graduan program akan mendapat dua kelayakan profesional iaitu CPA (Malaysia) dan CA (ANZ) hasil kerjasama antara MICPA dan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CAANZ).
“MICPA mempunyai lebih daripada 3,200 ahli dan lebih 1,000 calon berdaftar ketika ini,” katanya.
MARA memperuntukkan RM80 juta yang memberi manfaat kepada 704 pelajar tajaan mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan profesional di pelbagai institusi diiktiraf oleh ACCA dan MICPA.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/888526/mara-komited-lahirkan-pakar-perakaunan